Persahabatan itu umpama sejambak bunga. Andai ia terlerai, bisa digubah semula. Namun gubahan itu tidak akan seindah gubahan yang pertama.
Frasa yang begitu indah. Dalam maksudnya. Ayat-ayat yang penuh pengertian. Persahabatan? Definasinya terlalu dalam untuk dirungkai seperti definasi cinta dalam entriku yang lepas. Dan mungkin ruwet untuk aku gambarkan. Ada yang mengatakan persahabatan itu wujud apabila insan itu saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Ada pula mengatakan persahabatan itu sendiri bermaksud kemaafan. Jadi apabila salah seorang sahabat itu melakukan kesalahan, tidak perlu dinyatakan kemaafan untuknya kerana kemaafan sentiasa diberi untuk seorang sahabat itu.
Namun sedalam mana pengertianya, terserah pada diri sendiri menilai.
Masih lagi aku ingat. ketika berada di zaman kanak-kanak. Di akhir tahun penggal persekolahan, aku pasti sibuk menulis biodata yang dipinta oleh kawan-kawan. Pastinya, aku akan membaca dahulu apa yang ditulis oleh kawan-kawan yang terlebih dahulu menulisnya. Pastinya tidak ketinggalan dalam biodata itu “ kawan karib, kawan rapat, kawan biasa” malah lebih daripada itu, ada yang menulis siapakah musuh mereka. (hahaha. Sekadar tergelak apabila teringat) tepatlah jika aku katakan, kanak-kanak itu lebih tahu menilai nilai sebuah persahabatan sehingga boleh membezakan antara kawan karib dan kawan rapat. Aku sendiri tidak bisa untuk membezakanya. Mungkin kerana, sekarang ini aku sudah bergelar seorang dewasa. Dan mula menilai kawan itu kepada yang boleh dipercayai ataupun tidak. Kanak-kanak lebih jujur dalam persahabatan. “tak nak kawan” adalah ungkapan biasa yang kita dengar.
Bagi aku, sebuah persahabatan itu lebih simple,mudah berbanding cinta. Cinta ini merupakan satu nilai yang lebih kompleks. Dalam persahabatan kita memerlukan kepercayaan, saling menghormati dan bertolak-ansur. Tapi, sejauh manakah kewujudan nilai-nilai ini dalam erti persahabatan kini. Mungkin ramai yang alpa, leka menjadikan kita lupa akan nilai ini. Nilailah diri. Layakkah kita bergelar seorang sahabat? Dalam usia yang semakin mendewasa, kita mula sibuk dengan pelbagai urusan sebagai seorang dewasa. Pernahkah kita menilai diri ini, selama kita hidup ini adakah kita benar-benar menjadi seorang sahabat atau sebenarnya hanyalah duri dalam daging? Fikir-fikirkanlah. Tepuk dada, tanya hati. Hanya diri kita sendiri yang layak menilai diri sendiri.
Tak perlu mencari seorang yang sempurna untuk menjadi teman sejati, cukuplah mencari teman yang menjadikan kita sempurna apabila bersamanya.
Sudahkah aku temukan teman sejatiku??